Ada pun perjanjian yang dibuatnya ini
ditandatangani pada 31 Mac, 1883 M (1), di dalamnya tersebut perihal Undang
Rembau berhak menyampaikan perkara-perkara yang bersabit dengan keamanan negeri
kepada Gabenor Negeri-negeri Selat. Selepas ini maka berikutlah lagi satu
persetiaan pada 17 September 1887 M yang terkandung di dalamnya bahawa Dato’
Undang dan Lembaga-lembaga adalah menyerahkan kuasa mentadbir kepada pegawai
wakil Yang Terutama Gabenor dengan syarat bahawa sepertiga daripada hasil yang
didapati tiap-tiap tahun diserahkan kepada kerajaan adat Rembau.
Pada
tahun 1889 M suatu persetujuan telah didapati di antara Dato’-dato’ Undang
Rembau, Johol serta Yang Dipertuan Besar Seri Menanti dengan daerah lingkungan
yaitu negeri-negeri yang tersebut diikat dengan kuasa perjanjian ke dalam suatu
persekutuan yang dinamakan Negeri Sembilan. Maka tujuan British dengan
persetiaan ini ialah supaya memudahkan menjalankan pentadbiran juga – lalu
diletakkan seorang British Residen mentadbirkannya.
Sesungguhnya,
adalah sebutan “Persekutuan Negeri Sembilan” ini ialah pada namanya sahaja.
Akan halnya sedikit sahaja perbezaan dengan persatuan sembilan buah negeri
Sakai yang dinaungi oleh Johor pada masa-masa yang lalu. Negeri-negeri yang
diikat menjadi nama “Negeri Sembilan” itu termasuk luak-luak Inas, Jempol,
Gunung Pasir dan Terachi dengan ketua (penghulu) masing-masing luak itu
bersendirian dan tiada tertakluk ke mana-mana di dalam kumpulannya. Ada enam tahun lamanya keadaan demikian berjalan.
Setelah
itu baharulah masuk Sungai Ujong dan Jelebu yang sememangnya telah sedia
bernaung di bawah tadbiran British itu ke dalam Persekutuan “Negeri Sembilan”
(2) ini dan diikat lagi persetiaan dengan Gabenor Negeri-negeri Selat...
(1) Perjanjian ini adalah menarik hati
kerana di dalamnya ada menerangkan penyerahan Tampin, termasuk Keru dan Tebong
kepada zuriat Yamtuan Muda Syed Sya’ban. Bagi pihak Tampin, Syed Hamid telah
sama menandatangani perjanjian ini.
(2) Sebutan ini kekal digunakan dengan
rasmi dalam undang-undang Negeri Sembilan yang terkumpul dan digazetkan
mengikut ikrar yang disahkan dalam kuat kuasa triti tahun 1889.
Ulasan
Catat Ulasan