Maka semua suku-suku ini adalah serupa
sahaja keadaan perlembagaan dan cara pentadbirannya. Yang berbeza
sedikit-sedikit ialah pada beberapa perkara yang berkaitan dengan kedudukan dan
tarafnya sahaja kerana ada di antaranya yang berlaku kejadian yang khas (1)
pula seperti pertalian darah yakni bersaudara dan juga berbantu-bantuan masa
meneroka luak pada mula-mulanya serta bersorong berakit dalam muslihat mengawal
kedudukan masing-masing supaya kelabaan mereka jangan kena ganggu dan rosak.
Mengikut
sejarahnya bahawa penduduk Rembau yang mula-mula itu membuka luak ialah dengan
secara bergotong-royong dengan berbantu-bantuan di antara ketua-ketua mereka
mengikut perikatan yang dinamakan (i) Persatuan Berempat di Baruh, (ii)
Persatuan Berempat di Darat, (iii) Berlima di Darat ke Hulu, (iv) Bertiga di
Darat ke Hilir; dan juga (v) Perikatan Berlima Suku di Baruh. Maka perikatan
ini semata-mata sebagai asas siasah juga, bukan mengikut ilmu alam luak itu.
Maka
ikatan berlima suku di baruh seperti yang disebutkan di atas patutlah
difahamkan bahawa kejadiannya bukanlah dengan sebab berdekat-dekatan kedudukan
di antara satu dengan lain, tetapi yang terutamanya ialah kerana siasah
pentadbiran. Dalam pada itu sungguhpun kelima-limanya terikat menjadi satu dan
masing-masing berikrar menjalankan kuasa-kuasa yang terhad, yakni tiada boleh
membuat sesuatunya jika tidak dengan kebulatan terlebih dahulu, tetapi bagi
kebajikan atau hak pesaka ahlinya, tiadalah adat di dalam suku itu tergendala
daripada berjalan dengan bebasnya.
Oleh
sebab hak-hak pesaka di dalam suku adalah merdeheka wujudnya pada adat maka
menjadi kewajipanlah tiap-tiap orang memeliharanya supaya jangan cacat ceda,
seperti kata perbilangan:
“Dipijak
tanah, dilangkah akar, Undang yang punya.”
(Perbilangan
XV, penambahan i)
Ada
pun tiap-tiap orang baharu yang hendak tetap duduk di Rembau maka terpaksalah
ia masuk menjadi ahli dalam salah satu suku yang dua belas...
(1) Lihat Tambahan IV
Ulasan
Catat Ulasan