Bab Yang Pertama - muka 5




Ada pun di atas telah diterangkan darihal perkahwinan Tok Lela Balang dengan Tok Bungkal, Puteri Bongsu Batin Skudai. Maka dari perkahwinannya ini Tok Lela Balang pun mendapat seorang putera lalu dinamakannya Seri Rama (mengikut ceritanya ada lagi empat orang puterinya). Oleh sebab mengikut adat Minangkabau hak mewarisi adalah menerusi sebelah ibu maka Seri Rama pun diangkat menjadi Penghulu waris dan dipandang sebagai seorang yang berdarjat tinggi dan mulia, baik dalam kumpulan penduduk-penduduk asli Rembau itu maupun kepada peneroka-peneroka yang berasal dari Minangkabau juga. Maka oleh Sultan Johor yang asalnya keturunan daripada Sultan Melaka, dilantik Seri Rama ini menjadi Undang Luak Rembau yang pertama dengan gelaran Dato’ Lela Maharaja. Dari semenjak itu kekallah gelaran waris Jakun itu disebut Biduanda Lela Maharaja, datang sekarang.

      Adalah Tok Lela Balang ini ada seorang saudaranya pula, laki-laki bernama Tok Laut Dalam. Sebelum ia datang ke Rembau mengiring langkah saudaranya Lela Balang, ia telah beristerikan seorang perempuan Jawa. Maka ia pun berasa cemburu akan kebesaran zuriat perempuan dari anak cucu saudaranya yang berdarah Jakun ini dan berharap bahawa keturunan dari isterinya menerusi yang yang perempuan-perempuan juga hendaklah mendapat kelebihan yang sama seperti itu. Kepadanya ada empat puteri bernama Siti Hawa, Shamsiah, Nurimah dan Melidi. Maka ia pun mengadap ke Johor pula memohonkan supaya keturunan anak cucunya yang perempuan dapat kebesaran dan hak yang sama tarafnya seperti waris Jakun itu – tentunya telah berjaya. Maka dikahwinkannya puterinya yang sulung itu dengan Seri Rama. Dari masa itu ditetapkanlah bahawa pesaka Undang itu hendaklah disandang secara bergilir-gilir di antara keturunan sebelah perempuan anak cucu Tok Lela Balang dengan keturunan sebelah perempuan bagi puterinya yang berkahwin dengan Seri Rama. Undang Rembau yang pertama itu dengan sebutan waris Jawa, bergelar Sedia Raja. Maka nyatalah tiada sah kedudukannya ini yakni waris Jawa itu dari hasil tuntutan Tok Laut Dalam itu jika mengikut adat Minangkabau, kerana moyang yang laki-laki, bukan moyang sebelah perempuan berdarah Biduanda. Maka dengan sebab inilah agaknya hingga sekarang pun waris Jakun itu merasa dirinya lebih tertinggi daripada waris Jawa.

Ulasan