...berat sebelah, yaitu memberi kuat
kuasa kepada Belanda boleh memborong penghasilan bijih timah yang dikeluar melalui
Sungai Linggi ini.
Adalah
surat-surat di antara kedua pihak sebelum membuat triti yang diakui sah itu
masih ada tersimpan dalam peringatan Belanda di Melaka; di dalamnya adalah
didapati beberapa kenyataan yang menerangkan cara kerajaan Johor menjalankan
pemerintahan terhadap dua negeri yang berkenaan itu. Nampaknya, sebelum triti
tahun 1759 M itu dibuat kedua pihak, yaitu Rembau dan Belanda di Melaka lebih
dahulu mengadakan perundingan. Pihak kerajaan Rembau diwakili oleh Raja Adil
yang duduk di Pedas, Rembau Darat, dan juga oleh Dato’ Undang Rembau.
Dalam
surat peringatan Belanda itu menyebutkan juga yaitu pada 29 hari bulan
September 1757 M Raja Adil dan Undang Rembau, bersama dengan Penghulu Kelang
dan seorang Orang Besar Kelang yang bergelar Dato’ Lela telah datang melawat
Melaka, tetapi dengan alasan yang mereka semuanya tiada berkuasa penuh maka
masing-masing telah balik dengan tiada membuat apa-apa keputusan.
Maka
daripada bunyi surat-surat peringatan ini menerangkan lagi bahawa wakil Johor yang
di Pedas itu tidaklah sampai meliputi kuasanya ke Kelang, daerah yang berjiran
dengannya itu.
Demikian
juga wakil yang di Pedas ini tiadalah berdaya menjalankan kuasanya ke atas
persekutuan negeri-negeri itu; sehingga entah macam mana, dalam tahun 1770 M
didapati empat buah negeri, yaitu Sungai Ujung, Rembau, Johol dan Hulu Muar
yaitu daerah yang dahulunya sebahagian daripada negeri Johol juga telah bangkit
melawan kerajaan Johor.
Mengikut
riwayat yang dicakapkan oleh orang tua-orang tua yang didapati di Sungai Ujung
bahawa cerita pemberontakan ini tiadalah benar. Yang diketahui ialah Sultan
Abdul Jalil Syah, Johor sendiri dengan suka hatinya menyerahkan kuasanya di
atas negeri-negeri persekutuan itu yaitu Jelebu, Sungai Ujung, Johor dan Naning
kepada raja Minangkabau.
(1) Lihat Blend, Aturan Sungai Ujung JRASSB, Jilid XVIII, Ogos 1895 M.
Ulasan
Catat Ulasan