…sebenarnya bukanlah seperti yang difahamkan
oleh Newbold, yaitu daerah yang pada masa ini diperintah dengan nama jajahan
Hulu Pahang.
Tuan
Grey telah membuat perjalanannya, mula-mula ia bertolak dari Rembau, menuju ke
Jempol – dari situ ke Sungai Serting, lalu ke Sungai Bera, yaitu suatu cawangan
Sungai Pahang juga. Maka kedua-dua tempat ini sungguhpun di luar daerah Hulu Pahang
sekarang, tetapi inilah daerah yang dikatakan Hulu Pahang kurun yang keenam
belas itu. Tanda yang ditunjukkan oleh Newbold dalam petanya akan negeri Johol
itu pada sebelah utaranya bersempadan dengan Hulu Pahang, ialah juga Hulu
Pahang kurun ke-16 bukan mengikut yang diketahui pada masa ini.
Maka
negeri Kelang adalah juga dengan tidak syak sama termasuk ke dalam persekutuan
Negeri Sembilan di bawah naungan Johor, tetapi keluasan daerahnya dalam kurun
yang keenam belas itu tiadalah kenyataannya yang terang melainkan hanya di
dalam agak-agak jua, dalam pada itu tentulah tidak sama dengan keadaan negeri
Selangor sekarang. Maka daerah-daerahnya yang terutama ialah pada bahagian-bahagian
di darat, kerana tempat-tempat yang di tepi pantai itu kebanyakannya terbuka
baharu belaka yaitu oleh Bugis yang menyerang Selangor (anggaran tahun 1715 M)
dan mendirikan kerajaan beraja yang zuriatnya kekal sampai sekarang menjadi
Sultan Selangor. Mengikut cerita orang tua-orang tua yang telah dikutip oleh
Newbold (1) kononnya adalah penduduk-penduduk daerah Sungai Kelang terbahagi
kepada tiga puak orang, yaitu pada tebing sebelah kanannya didiami oleh
orang-orang Melayu, sebelah kiri orang-orang Jakun dan daerah-daerah di tepi
pantai didiami oleh orang-orang Bugis. Maka kawasan yang diperintahkan oleh
Orang Kaya Kecil, Undang Kelang, adalah termasuk ke dalam perintahnya Sultan Selangor.
Kata Newbold, kawasannya sampailah membawa yang dihulunya sekali. Oleh yang
demikian haruslah bahawa Kelang yang dikatakan persekutuan negeri Sakai menjadi
jajahan Negeri Sembilan pada zaman dahulu itu ialah daerah yang didiami oleh
orang-orang Islam dan Sakai mulai dari tempat-tempat di hulu Sungai Kelang itu.
(1)
Lihat Newbold Jilid II
muka 27 sampai 30.
Ulasan
Catat Ulasan