Bab Yang Pertama - muka 14


…sebagai nama sesuatu tempat lain di antara daerah-daerah di Hulu Pahang. Dan lagi selain daripada Sungai Ujung dan Johol, tidak ada tanda-tanda dalam adat perlembagaan sembilan negeri itu yang berbau batin menerima pengakuan dari Johor. Walau macam mana pun penting keadaannya pada mata siasah, maka gelaran “Undang” yang dipakai sebagai Penghulu tiap-tiap luak, itu ialah disandang oleh peneroka yang berugama Islam, bukannya oleh batin-batin, dan Johor membuat perhubungan pun dengan “Dato’-Dato’ Undang” inilah.

          Sangka-sangka ini  pun juga jika dipandang menerusi segi sejarah boleh diulas pada masa Melaka ditawan oleh Albuquerque tahun 1511, kerajaan Islam Melaka tiada bermusuh dengan siapa-siapa pun di Semenanjung ini selain daripada kerajaan Siam. Lepas itu barangkali adalah pelik mengapa kerajaan Perak terkeluar daripada menjadi sebuah negeri-negeri di darat Semenanjung dalam persekutuan negeri-negeri ini dan juga tidak tertakluk ke Johor. Dalam tahun 1530 M negeri Perak telah ditakluki oleh Raja Aceh yaitu Sultan Mansur Syah, Raja Johor (keturunan Melaka) yang akhir berkerajaan di Perak. Persekutun negeri-negeri ini, pada halnya, adalah tertubuhnya tidak lama kemudian daripada tahun 1530 M ini.

          Maka bagi negeri-negeri yang mengikat perjanjian berbantu-bantuan ini gelaran “Undang” adalah tarafnya sebagai pemerintah yang berkuasa penuh dan tertinggi sekali. Mengikut teromba (cerita orang tua-orang tua) Rembau bahawa Balai Undang Rembau itu sudah pun wujud kira-kira 360 tahun umurnya dalam tahun 1905 M. Oleh yang demikian menunjukkan tarikh zahirnya persekutuan negeri-negeri ini haruslah pada tahun yang ketiga puluh atau empat puluh dalam kurun yang keenam belas (T. M. 1500 – 1600).

          Tarikh ini nampaknya menolak kebenaran pendapatan Tuan Lister. Dalam pada itu bolehlah juga difahamkan bahawa masalah Jelai dan Hulu Pahang itu termasuk ke dalam persekutuan Negeri Sembilan yang di bawah naungan Johor itu sebagai kepercayaan pandangan sahaja dari segi ilmu alam. Tinggal lagi kesamaran sedikit tempatnya ialah tentang nama-nama tempat itu di antara sekarang dengan kurun Masihi yang keenam belas itu dalamana didapati berbeza pada sebutannya.

Ulasan