Bab Yang Pertama - muka 12


… suku Seri Melenggang Minangkabau Darat dan berkuasa penuh di dalam lingkungannya itu tidaklah berapa terang halnya. Gelaran ini wujudnya hanya mengikut kata orang tua-orang tua (peringatan bapa kepada anak) dalam keturunannya sahaja, kononnya, daripada darjah Penghulu yang berkuasa itu maka ianya telah diturunkan kepada taraf panglima, yaitu gelaran yang tanggungannya sebagai seorang ketua pertanda sahaja.

          Sekianlah sebanyak sedikitnya hal-hal yang berjalan mengenai siasah dalam negeri Rembau itu. Maka semenjak beberapa lama dahulu Rembau sememanglah juga keadaannya sebagai sebuah negeri yang tertubuh dari kesatuan puak-puak Sakai dalam Negeri Sembilan dan di bawah perintah kerajaan Johor. Mengikut kenyataan Newbold dalam bukunya “Pendudukan British di Melaka” (The British Settlement in Malacca” maka ahli-ahli persekutuan negeri-negeri tua ini ialah Sungai Ujung, Rembau, Johol, Jelebu, Segamat, Naning, Kelang, Hulu Pahang dan Jelai. (Lihat teraan 3.)

          Maka akan daerah Hulu Pahang dan Jelai itu termasuk ke dalam Daftar Daerah-Daerah, Negeri Sembilan ini telah lama menjadi bahasan, kerana Jelai (Pahang) dan Hulu Pahang adalah terasing dan sangat jauh jaraknya daripada tujuh buah negeri yang lain-lain itu, bagaimana pula hendak dikatakan daerah-daerah itu sebahagian daripada persekutuan negeri-negeri ini. Demikian jugalah halnya Klang, jika hendak dikatakan sebagai satu daerah dalam persekutuan sembilan buah daerah dalam persekutuan sembilan buah negeri juga.

          Bagi menghilangkan kesamaran bahawa darihal negeri Jelai yang dikatakan itu haruslah bukan yang di dalam negeri Pahang, melainkan ialah daerah yang kecil yaitu Inas (atau Jelai) yang menjadi sebahagian daripada Seri Menanti sekarang. Tuan Hervey, dalam kenyataannya berkenaan Rembau (1) menyebutkan di sebalik mengatakan Inas itu bukan sebahagian daripada Johol, tidak pula menerangkan mengapa gelaran Maharaja Perba, gelaran Undang Jelai itu masih hidup menjadi gelaran Orang Besar Jelai Pahang sampai pada masa ini.


(1) Lihat JRASSB Jilid XIII, muka 245, Jun 1884.

Ulasan