Kata pengantar - muka xvi


…kuasanya luas mempengaruhi daerah Ulu Muar dengan meninggalkan daerah-daerah di tepi luak yang di bawah pengaruh Bugis yang tidak berkesudahan mengharu Belanda di Melaka itu. Maka pada masa Rembau membantu Raja Haji (Bugis) menyerang Melaka tahun 1784 Raja Melewar tidaklah mencampuri hal Rembau itu. Raja Melewar mangkat ialah pada tahun 1795 yaitu bersamaan Inggeris mengambil Melaka daripada Belanda. Pendeknya, Raja Melewar tidaklah mengambil hirau akan hal-hal Bugis di luar daerah Melaka serta mengambil tahu hal penghasilan bijih timah di Sungai Ujung dan Jelebu dan juga persengketaan Undang Rembau atau Sungai Ujung yang kedua-duanya sesame kuat dan tidak mahu beralah-alahan itu, sebaliknya ia berdiam-diam mempengaruhi Penghulu-penghulu Ulu Muar, Terachi, Gunung Pasir, Jempol dan Inas sebagai penyokongnya.

          Adalah campuran British ke atas Rembau mulai tegap ialah selepas Perang Naning tahun 1832 kerana Rembau telah tidak menyebelahi Naning lagi. Pada mula-mula peperangan Naning ini Raja Ali, Rembau telah dapat dipujuk oleh Dol Said, Dato’ Naning memihak ke Naning dengan alasan bahawa selepas British berjaya menyerang Naning, makai akan menyerang Rembau pula. Maka bantuan Rembau ke atas Naning itu menyebabkan British kalah dalam langgarannya yang pertama dan memeranjatkan, sampai disangkanya bahawa seluruh Negeri Sembilanlah yang membantu Naning itu. Tetapi setelah berjaya Gabenor Ibbetson memujuk dan menerangkan kepada Raja Ali bahawa British sekali-sekali tidak berniat demikian maka baharulah Rembau menarik tenteranya dari Naning dan kemudian Syed Sya’ban berpaling pula membantu British sebagai pengakap yang membukakan rahsia perkubuan di Naning.

          Perundingan-perundingan di antara British dengan Rembau ini berjalan di antara bulan September 1831 membawa ke bulan Januari tahun berikutnya. Perjanjian-perjanjian telah dibuat, mula-mulanya pada 30 November 1831 dan kemudian dihubung lagi pada 28 Januari 1832 dengan menyebutkan di antara lain-lain “Bahawa kerajaan Rembau, dengan kuasa-kuasa yang ada kepadanya adalah bebas menjalankan pemerintahan di dalam daerah luaknya mengikut undang (Adat Perpatih) pentadbirannya sendiri” dan British dengan Rembau tiadalah harus lagi bermusuh-musuhan dan rampas…

Ulasan