…kuat
kepercayaan kita pada mengatakan bahawa wujudnya di dalam tiap-tiap zaman itu
adalah sebagai sebuah kerajaan merdeka, bukan seperti suatu dusun atau solok
yang didiami oleh orang-orang darat yang masih liar. Sejarah Melayu yang
terkarang dalam tahun 1612 M itu sungguhpun tiada menyebutkan perkataan “Rembau”,
tetapi pada masa Sultan Mansur Syah (1477 – 1459) T. M. mendirikan istana
adalah orang-orang Kundur sesama, yaitu membuatkan dua buah balai pengapit
pintu istana baginda itu – menunjukkan bahawa Rembau ialah sebuah jajahan yang
diperintahkan oleh orang besar-besar (Bendahara) Melaka jua dengan Kundur
sebagai pusat pentadbiran luaknya. Dan lagi Penajih (Penajis) pun memang telah
terkenal dalam zaman kerajaan Melaka yaitu mana-mana daerah yang dilembahkan
oleh Sungai Linggi sekarang. Dahulu ialah namanya Penajih dan Kuala Linggi di
sebut Kuala Penajih. Nama-nama lain yang ada tersebut dalam Sejarah Melayu
ialah Lubuk Cina, Hulu Muar, Sening Ujung, orang-orang dan lain-lain lagi.
Maka suku Biduanda yang dikenal di Rembau
sekarang sebagai suku yang memerintah haruslah keturunan biduanda-biduanda
Melaka yang mencampuri pemerintahan Rembau pada zaman kerajaan Melaka Tua itu
juga. Biduanda ialah panggilan kepada keluarga Bendahara dan memegang
jawatan-jawatan yang penting di peseban Raja Melaka. Sejarah Melayu menyebutkan
bahawa anak baik-baik Cina dan juga kaum bangsawan Jawa yang berkahwin dengan
perempuan-perempuan Melayu Melaka semua keturunannya digelar biduanda. Sama ada
cerita Bendahara Sekudai yang sememangnya keturunan dari Bendahara-Bendahara
Melaka jua manakala tiba ke Rembau berkahwin dengan puteri Biduanda (Jakun)
Rembau boleh dikatakan sebagai memperhubungkan pertalian darah yang telah
renggang, atau hendak diterima bulat-bulat cerita bapa kepada anak yang
terkenal di Rembau itu seperti yang terangkan oleh buku ini kelak maka bolehlah
sama-sama kita fikirkan; tetapi satu perkara nyatalah benar, yaitu Rembau ialah
daerah yang dekat sekali dengan Melaka, dan lagi di Rembaulah boleh didapati
tersangat ramai orang-orang Biduanda. Saudagar-saudagar di Melaka memang
tertarik hati mencampuri hal Rembau, kerana daerah ini banyak mengeluarkan
bijih dan benda-benda hutan yang berhasil. Dalam peta d’Eredia tahun 1613 M
Rembau telah ada di samping….
Ulasan
Catat Ulasan