Maka kenyataan Portugis ini disokong
pula oleh Dagh Register yaitu penyata harian Belanda masa memerintah Melaka,
mengesahkan beberapa lama orang-orang Portugis mengadakan perhubungan
perniagaan dengan jajahan-jajahan yang dahulu negeri Melaka.
Adapun perkelahian di antara Rembau
dengan Portugis pada tahun 1585 itu sesungguhpun telah berkesudahan dengan
bermaaf-maafan tetapi bolehlah dikatakan semenjak itu juga keadaan perhubungan
di antara keduanya semakin bertambah-tambah renggang dan selalu sahaja berlaku
persengketaan, sampailah pada masa Belanda merampas Melaka daripada Portugis tahun
1641, kerana Rembau telah bertambah-tambah rapat perhubungan dengan Johor dan
Belanda pula. Maka pada masa Belanda mengambil Melaka daripada Portugis,
orang-orang Johor, Naning dan Rembau adalah sama mencampurinya, jika tidak pun
dikatakan memihak Belanda maka mereka adalah telah melakukan perampasan harta
benda dan menawan orang-orang pelarian Portugis yang di dalam kelaparan yang
berundur ke darat-darat negeri Melaka dan di samping itu menyekat Sungai
Penajis (Linggi) supaya ketenteraman mereka jangan pula dicerobohi oleh Belanda
yang sememangnya dengan di sebalik perkataan “bersahabat” hendak memborong pula
apa-apa juga penghasilan daerah yang dapat dikeluarkan oleh Rembau.
Kepercayaan Rembau kepada Belanda
telah rosak manakala Belanda menuntut supaya memulangkan orang-orang tawanan
Kristian kepadanya apabila selesai sahaja kerja memerangi Melaka dan juga
Belanda memaksa Rembau dan lain-lain negeri di Semenanjung ini berniaga
dengannya sahaja. Mulai dari tahun 1641 itu juga Rembau telah membukakan
perniagaannya dengan orang-orang asing. Maka pada masa itu wakil Belanda
sebagai Temenggung Naning ialah Jan Menie namanya. Sebagai mengganggu…
Ulasan
Catat Ulasan