Bagaimanakah
caranya pemerintahan Rembau itu dijalankan dan apakah undang-undang yang
dipakai oleh kerajaannya pada zamannya itu? Buku ini akan memberi sedikit
bayangan kepada pembaca-pembacanya. Kesan-kesan yang ada pada hari ini
menunjukkan belaka, dengan tidak syak, akan jajahan ini ialah satu-satunya
negeri kecil yang telah lama berkemajuan dan mempunyai peradapan dan kebudayaan,
setidak-tidaknya dari masa setelah runtuh kerajaan Melayu Melaka tahun 1511 dahulu
lagi. Ada pun dari hal rupa atau cara undang-undang negeri pada zamannya itu
tidaklah lain daripada yang disebut dengan nama “Adat Perpatih” masa ini
diketahui oleh anak-anak Rembau dengan lancar di mulut sahaja dan tiap-tiap
satunya menjadi kata-kata basahan dalam masyarakat mereka hari-hari. Maka
bolehlah dikatakan bahawa kata “nang tua-tua”, bagaimana difahamkan di Rembau
daripada kumpulan kata pepatah, bidalan, perumpamaan, tamsil ibarat dan
sebagainya yang banyak dibukukan sekarang ialah bukan perkara baharu kepada
orang-orang Melayu Negeri Sembilan yang beradatkan Perpatih, meskipun setengah
daripada setengahnya masih tidak pun tahu menulis. Maka apabila disebut adat,
di Rembau adalah difahamkan meliputi kehendak-kehendak yang luas ertinya. Adat inilah
undang-undang negeri mereka dan sangat dipegang dan dihormati oleh mereka.
Siapa-siapa didapati oleh mereka di
dalam masyaratnya berkelakuan tak baik, atau membuat sesuatu yang tidak senonoh
maka dikata oleh mereka “tak tahu adat” dan hendaklah dihukum. Jika membuat
sesuatu yang ditegah ugama juga akan dikata oleh mereka “melanggar hukum adat”,
kerana ugama adalah dikira oleh mereka sebagai sebahagian daripada adat juga,
yang berjalan sama seiring dan terus menerus pada mana-mana jua tempatnya. Tiap-tiap
orang ada belaka kerjanya bagi membetulkan yang lainnya mengikut adat. Adat berjalan
“membujur lalu, melintang patah,” kata perbilangan, ertinya – adat tetap
berjalan lurus menuju pada matlamatnya, tiada apa yang boleh menahan dan
mengendalakannya. “Biar mati anak, asalkan jangan mati adat,” kata mereka,
dalam mana ertinya pula, jikalau anak hidup, tiada tahu mengikut benar dan
undang-undang masyarakat hidup di kelilingnya, maka tiadalah dipandang ia
berharga dalam kumpulan mereka. Demikianlah teguhnya mereka berpegang kepada
adat.
Ulasan
Catat Ulasan