Kata Pengantar - muka ii



Bahawa buku ini diusahakan menterjemahnya ialah hendak memberi sedikit gambaran kepada ahli-ahlinya, khasnya anak-anak Rembau sendiri yang berhajat hendak menyemak sejarah pentadbiran dan Adat Perpatihnya, kerana pada masa-masa yang akhir ini didapati selalu benar menjadi perbincangan di dalam surat-surat khabar tempatan dengan berbagai fikiran dan tuduhan didatangkan oleh penulis-penulisnya, mengatakan, pada beberapa perkara, maka adat ini adalah kononnya telah tidak bersesuaian lagi dengan zaman sekarang.

Sama ada pendapatan dan tuduhan-tuduhan yang pernah didatangkan oleh penulis-penulis itu benar atau tidak, tiadalah penyalin hendak mengulasnya di sini; tetapi harus berguna diperkatakan bahawa sebagai sebuah negeri kecil, maka Rembau yang luasnya kira-kira 400 batu persegi sahaja dalam Negeri Sembilan sekarang adalah mempunyai sejarah yang patut dimegahkannya pada zaman kebesarannya, iaitu pada suatu masa dahulu, 350 tahun atau lebih lamanya ialah sebagai sebuah negeri Melayu yang berkerajaan sendiri, mempunyai perlembagaan dan “Undang” menjadi pucuk pimpinan pemerintahannya.

Dengan sedikit pindaan pada mana-mana tentangnya yang telah berubah maka buku ini bolehlah dikatakan terjemahan bulat-bulat dari karangan C. W. C. Parr dan W. H. Mackray, dalam jurnal, Straits Branch Royal Asiatic Society, bilangan 56, keluaran Disember, 1910 itu. Maka dari semenjak tarikh tersusunnya sebanyak yang ada ini sampai sekarang, masanya telah berjalan 43 tahun, dan penyusunnya itu telah mengumpulkan dia pula ialah dalam masa yang singkat dan beberapa tahun sahaja setelah berdamping mencampuri hal-hal pemerintahan adat Rembau; oleh yang demikian tidaklah syak bahawa pada beberapa perkara, maka buku ini masih di dalam keadaan yang kekurangan juga.

Ulasan