Bab Yang Pertama - muka 22


     Dalam tahun 1785 M Bugis telah menarik diri dari Riau. Maka bertambah lagi lemahnya kuasa Sultan Johor dan kerajaan Belanda pula pada masa itu adalah penuh tangannya dengan usaha-usaha menentang kemajuan perniagaan Syarikat Inggeris East India Company. Oleh yang demikian maka ikatan persekutuan empat buah negeri itu pun menurutlah juga sama kendur. Apabila mangkat Yamtuan Melewar maka kerajaannya digantikan oleh Raja Adil dari Minangkabau; kemudian, selepas Raja Adil, yaitu dalam tahun 1795 M datang pula Raja Itam. Maka sungguhpun Yamtuan telah bertukar ganti lepas satu, satu, mengikut riwayat yang didapati di Rembau maka Yamtuan-Yamtuan kurun yang kedelapan belas ini tiadalah lagi mencampuri hal-hal siasah pentadbiran di dalam luak Rembau itu.

      Apabila British mengambil Melaka daripada Belanda dalam tahun 1795 M maka ia pun mengikat persetiaan dan persahabatan dengan Rembau. Di dalam surat persetiaan ini juga tiada menyebut atau mengait-ngait nama Yang Dipertuan Besar atau pun tiga buah negeri lain yang di dalam persekutuan negeri-negeri ini.

       Pada masa itu yang memerintah Rembau ialah Undang Dato’ Pekak. Oleh sebab ia tiada berupaya hendak ke Melaka sebab uzur maka dilantiknya seorang ketua waris yaitu Kusil namanya sebagai wakilnya ke Melaka. Apabila Kusil balik dari Melaka maka ia telah enggan melucutkan kuasa yang diberi oleh Dato’ Pekak kepadanya itu, sebaliknya, dipaksanya Dato’ Pekak dengan kekuatan senjata turun daripada Undang. Maka terpecatlah Dato’ Pekak lalu ia sendiri naik menjadi Undang Rembau. Maka kejadian ini pun tiada juga raja yang di Seri Menanti itu mencampuri, sama ada menunjukkan ia bersetuju atau tidak. Alhasilnya, tiadalah ia mengambil berat siapa-siapa pun Undangnya memerintah Rembau, dan berbeza benar halnya dengan keadaan yang terjadi dalam masa Dato’ Uban di bawah naungan Johor dahulu.

      Setelah sepuluh tahun lamanya Rembau meminta-minta maka sekali lagi ia berjaya mendapat seorang raja yang sama-sama diperkenani oleh Undang Yang Tiga, raja ini...

Ulasan