…
berundur balik ke Melaka dengan meninggalkan sebuah peti berisi wang sebanyak
kira-kira 14 ribu riyal dengan tiga puluh orang lagi askar Belanda terkorban.
Sultan Johor tidak dapat berbuat apa-apa dalam rusuhan ini selain daripada
berdalih mengatakan bahawa kejadian yang tersebut ialah perbuatan orang-orang
Bendaharanya dan kerajaannya tiada bertanggungjawab, serta menghantar Hang
Khamis dan Hang Sikam, yaitu dua orang utusannya bagi menyampaikan ucapan
dukacitanya terhadap kematian sahabatnya, Menie itu; dan dua orang lagi diutus
ke Betawi yaitu Seri Maharaja Lela dan Lela Wangsa bagi menerangkan kejadian
ini juga.
Maka selain dari kejadian di atas,
sekurang-kurangnya ada dua kejadian yang besar lagi yang berlaku dalam tahun
1643 ini, yaitu pada 5 Mei orang-orang Rembau telah berhasil membinasakan
sebuah kapal nelayan Belanda di Sungai
Baru dengan membunuh dua orang daripada orang-orangnya: perbuatan ini dibalas
oleh Belanda dengan menyekat Sungai Penajis juga dengan tujuan hendak
melaparkan Rembau. Pada 23 Mei pula berperang betul-betul di antara Belanda
pada satu pihak dengan Rembau dan Naning pada pihak yang sebelahnya. Raja
Merah, Penghulu Naning hendak juga berbaik-baik dengan Belanda, tetapi adalah dikatakan
bimbang pula akan Rembau. Masa inilah juga Belanda sendiri telah jatuh serba salah
– bimbang kepada Johor dan sebaliknya, Johor bimbangkan Belanda, dalam mana
akibatnya, perniagaan di Melaka telah menjadi susut dan kucar-kacir. Setelah
beberapa bulan lamanya di dalam keadaan yang bersorong tarik ini baharulah
Belanda dapat bertapak sedikit demi sedikit mempengaruhi Rembau, Naning dan
Johor. Pada bulan Ogos 1644 ada lima orang Melayu Naning telah dijatuhkan hukum
oleh Belanda dan mengikut Dagh Register nama-nama mereka ialah Sitam, Busu,
Silap, Putra dan seorang utusan bernama Picum yang bekerja sebagai pengintip
rahsia. Kesalahan Sitam yang sifatnya sebagai orang kepercayaan Belanda di Melaka
bagi menyampaikan surat utusan ke Naning dan Rembau, sebaliknya telah
mengusahakan satu angkatan seramai 2000 Minangkabau melawan Belanda. Dihukum
bunuh dan tubuhnya dipertunjukkan kepada khalayak ramai sampai hancur. Silap
dan Busu dihukum pancung, demikian juga…
Ulasan
Catat Ulasan