Kata Pengantar - muka viii


…nama-nama Kelang, Sungai Ujung, Naning, Johol dan Jempol dan juga menyebutkan bahawa pada tahun 1613 itu Kelang adalah mengeluarkan bijih seratus bahara tiap-tiap tahun. Demikian juga Penajis (tempat bijih dari hulu Rembau terkumpul).

          Darihal kedatangan orang-orang Minangkabau ke Rembau ahli-ahli pentarikh Portugis adalah mempercayai semenjak dalam kurun yang kelima belas lagi dan keadaannya bertambah-tambah ramai dari semasa ke suatu masa. Maka kebanyakan di antara mereka ahli-ahli bercucuk tanam belaka. Apabila Portugis menduduki Melaka sehingga membawa ke tahun 1586 mereka adalah bersahabat dan bertukar-tukaran mata benda dengan Portugis yaitu Portugis membawakan barang-barang perniagaan dari Coromandel, India dan orang-orang Minangkabau Rembau memberi emas pula sebagai pertukarannya. Pada tahun 1586 mereka pun berpaling tadah yaitu menyebelahi Johor memerangi Portugis di Melaka dengan angkatan yang seramai kira-kira dua ribu orang dari Rembau sahaja di bawah pimpinan seorang panglima perang dari Johor. Apabila Portugis menyerang balas ke Rembau dengan kekuatan 100 orang soldadu Portugis dan 600 soldadu tempatan maka panglima Rembau ini dapat melarikan diri; orang-orang Rembau telah dimaafkan perbuatannya ini.

          Jadinya, jikalau pada tahun 1586 ini sudah pun boleh ia mengadakan angkatan tentera sampai dua ribu orang, maka haruslah sekurang-kurangnya sudah sekurun lamanya lebih dahulu Minangkabau menduduki Rembau atau Rembau-Naning pada masa itu. Tambahan lagi, sebagai menguatkan kepercayaan ini kita dapati sebuah makam di Pengkalan Kempas yang bertarikh tahun Masihi 1467 yang tersurat dengan huruf Arab berbahasa Melayu Sumatera dan buatannya pun lebih kurang sama dengan bentuk kebanyakan kubur di sana – maka ini pun menunjukkan belaka jika tidak pun hendak dikatakan orang yang di dalam kubur itu seorang pemimpin ugama orang Minangkabau maka yang menukangi batu-batu makam ini ialah orang-orang Minangkabau juga.


Ulasan